PENGENALAN

PENGENALAN PEKDIS
 
PEKDIS adalah singkatan bagi Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia. Bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ia mula ditubuhkan pada tahun 2005. Yang DiPertua PEKDIS yang pertama ialah Yang Berbahagia Hj. Abd. Razak bin Draman, Pengarah Bahagian Dakwah dan Kepimpinan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), KPM.

Bagi sesi 2009/2010, jawatan Yang Di Pertua PEKDIS disandang oleh Tn. Hj. Abdullah bin Md. Din, Timbalan Pengarah (Operasi Dakwah), Bahagian Pendidikan Islam, KPM.

Sehingga 2010, jumlah guru Pendidikan Islam seluruh negara telah mencapai angka lebih 42 ribu orang. Jumlah ini dijangka akan mencecah angka lebih 60 ribu orang apabila semua keperluan jawatan diisi menjelang 2015 nanti.

Sehubungan dengan itu, semua Guru Pendidikan Islam perlu menjadi ahli pertubuhan bagi mendokong dan membantu aktiviti-aktiviti dakwah Islamiah sekolah-sekolah serta menjaga kebajikan dan kepentingan perkhidmatan masing-masing.

OBJEKTIF

Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk:

1. Merapatkan ukhuwwah Islamiah antara semua Guru Pendidikan Islam (GPI), meningkatkan prestasi perkhidmatan dan profesionalisma GPI serta menjaga kebajikan GPI.

2. Menjalinkan kerjasama dengan Jabatan dan Institusi Pendidikan dan juga dengan badan-badan dakwah dan agensi-agensi lain bagi menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

3. Meningkatkan kualiti pengurusan Pendidikan Islam dan Dakwah melalui perkongsian idea dan pengalaman di semua peringkat.

4. Mendukung dan mengamalkan prinsip-prinsip falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam.

5. Membantu pelaksanaan aktiviti dakwah dan ko-kurikulum Pendidikan Islam di sekolah.

6. Menerima derma, tajaan dan sumbangan dengan syarat telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan atau lain-lain agensi yang berkaitan.

7. Merancang dan melaksanakan program dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan kewangan di cawangan-cawangan PEKDIS seluruh negara dengan mendapat kelulusan Mesyuarat Agung terlebih dahulu.

8. Merancang dan melaksanakan program dan aktiviti-aktiviti yang meliputi perkhidmatan, kebajikan kepada semua ahli dari segi pendidikan, kerjaya dan kesihatan.
LOGO PEKDIS
LOGO RASMI PEKDIS (Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia) ini telah direkacipta oleh Ustaz Jalaluddin bin Haji Mispan @ Mislan. Beliau merupakan JOHAN Pertandingan Merekacipta Logo PEKDIS peringkat kebangsaan yang telah dianugerahkan pada 26 Julai 2008 yang lalu.
KETERANGAN LOGO 
Konsep jarum berjumlah 16 batang mewakili 16 buah negeri dalam Malaysia (termasuk Wilayah Persekutuan Labuah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) yang menjadi ahli dalam pertubuhan ini.
Jarum bersifat tajam menggambarkan setiap pendakwah seharusnya berfikiran tajam, kreatif dan kritis dalam usaha memartabatkan agama Islam dan seolah-olah bercahaya adalah bermaksud usaha berdakwah dapat memberi 'nur' keimanan kepada sesiapa sahaja.
Jumlah 3 titik bagi mewakili :
1. Kementerian Pelajaran Malaysia
2. Jabatan Pelajaran Negeri/Bahagian dan
3. Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh Negara.
Huruf 'PA' membawa maksud singkatan bagi akronim 'PEKDIS' (Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia) yang juga membawa erti pengurusan pendidikan Islam, pendakwah serta pendidik yang sentiasa berkhidmat di mana saja dalam memberikan bimbingan kepada anak bangsa.
Perkataan 'PEKDIS' ditulis dalam tulisan jawi bagi memartabatkan dan melambangkan kecintaan terhadap tulisan warisan bangsa melayu yang tidak akan hilang ditelan zaman dan perkataan 'PEKDIS' ditulis dalam tulisan rumi bagi melambangkan Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi Negara.
Tulisan 'PERTUBUHAN DAKWAH ISLAMIAH SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA' ditulis dalam dwi tulisan bagi menjelaskan nama Pertubuhan 'PERTUBUHAN DAKWAH ISLAMIAH SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA.'